BAJU PENGANTIN MAK ANDAM

Novel Dari Areila Sahimi

APA KATA HEROIN?


"Zain, sekeras-keras aku, rock-rock kapak aku, seselamba mana pun aku Zain, aku masih seorang perempuan. Yang tahu rasa malu bila tiba part nak luahkan isi hati." ~Aleeya~

APA KATA HERO?


"Biarpun dia serabut, dia kusut, dia jiwa kacau, dia suka teh tarik mamak sekalipun, pada aku dia tetap teristimewa." ~Zain~

Baju Pengantin Mak Andam - 9

BUNYI alarm yang bingit dari
telefon bimbit mengejutkan Aleeya
dari terus dibuai lena. Jam digital
yang tertera di skrin telefon bimbit sudah menunjukkan tepat
pukul lima tiga puluh minit pagi. Kenapalah hari ini hari
Selasa, bukannya hari Sabtu ke Ahad ke... Malasnya nak pergi
kerja kalau dah berehat sakan di kampung.
Berehat ke? hati mula bertanya sendiri.
Aleeya menggolekkan badan ke kiri dan ke kanan.
Senaman baru bangun tidur yang sudah lama menjadi tabiat
yang susah nak dibuang. Aleeya bangun dari toto tempat
tuan puteri beradu. Seperti biasa, selimut dilipat. Toto juga
dilipat dan diletakkan di tepi penjuru bilik. Bantal untuk
membuat alas kepala diletakkan sekali. Begitu juga dengan
bantal bucuk yang sudah berusia hampir sepuluh tahun itu
diletakkan sekali di atas bantal kepala.
Kemudian dia menuju ke cermin yang elok
tergantung di dinding bilik. Membelek-belek wajah yang baru
bangun tidur itu terlebih dahulu sebelum mencapai tuala
dan menuju ke bilik mandi. Sempat dia mengetuk pintu bilik
sebelah dan juga bilik belakang supaya penghuni di dalamnya
sedar dari lamunan indah mimpi masing-masing. Macam
warden asrama budak sekolah menengah lagak gaya Aleeya
mengejutkan teman-teman serumah yang masih sedap tidur
di atas toto masing-masing.
Pang! Pang! Pang!!! Macam nak kasi pelempang
pintu bilik diketuk.
"Bangun! Bangun!!!" jeritnya dari luar dan terus
berlalu menuju ke bilik mandi.
Selesai mandi, Iwa terus ambil turn masuk ke bilik
mandi.
Yang dua orang lagi masih sedap tidur.
Aleeya terus masuk ke dalam bilik. Sejadah
dibentangkan menghadap kiblat, telekung dipakai sempurna.
Berdiri tegak menghadap kiblat untuk menunaikan
tanggungjawab sebagai hamba-Nya.
Selesai solat, Aleeya terus bersiap sedia untuk ke
pejabat. Baju kurung Johor berwarna merah jambu itu cantik
terletak di badan Nurul Aleeya yang mempunyai ketinggian
lima kaki lapan inci itu.
Bekerja sebagai pembantu peribadi di jabatan
kerajaan tidaklah sama seperti mana-mana pembantu
peribadi di syarikat-syarikat swasta. Kebanyakan PA di
syarikat swasta lebih bergaya sofistikated up-to-date dengan
skirt atau slack yang dipadankan dengan kemeja pelbagai
warna lengkap dengan blazer. Almaklumlah, ikon syarikat.
Penampilan kena jaga. Tak boleh main redah belasah aje.
Kebiasaannya Aleeya lebih selesa ke pejabat dengan
memakai baju kurung sahaja. Adakala kalau ingin mengubah
selera, haluan fesyen, dia memakai kebaya. Tidak kiralah
sama ada kebaya labuh, kebaya nyonya ataupun kebaya
pendek berkain pario ke semua jalan aje. Manakala setiap hari
Khamis, kena pakai baju batik sepertimana yang telah tertulis
pada pekeliling perkhidmatan awam bilangan satu tahun
2008 yang menekankan bahawa setiap hari Khamis adalah
hari pemakaian batik bagi kakitangan awam.
Masih segar di dalam kotak ingatan semasa belajar
di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam dulu. Menjadi
pelajar jurusan Diploma Sains Kesetiausahaan atau
singkatannya DSK. Tapi, ada golongan pelajar dari jabatan
lain yang menggelar DSK itu sebagai Diploma Seni
Kecantikan. Cesss!!! Jabatan mana tu? Mana lagi... dah tentutentu
dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan juga Jabatan
Kejuruteraan Awam. Suka-suka hati dia orang sahaja.
Teringat semasa belajar kelas grooming Cik Aznira.
Ha ha hah... Macam manalah budak-budak DSK tak kena
kutuk berlori-lori kontena dengan budak-budak TNB sama
budak JKR, kalau nak pergi ke kelas tengah-tengah hari
rembang pakai bedak tebal seinci, blazer plus slack hitam,
tak lupa kemeja dan tudung putih complete dengan sepasang
sepatu high heel berwarna hitam. Jalan ramai-ramai dah
macam sekumpulan pramugari MAS nak masuk dalam badan
pesawat yang membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci
Mekah aje gayanya.
Aleeya mengukir senyum sendiri menghadap
cermin. Tak dinafikan jugak. Aleeya pun pernah kena kutuk
kaw-kaw baik punya depan-depan masa belajar dulu. Dah
nama student DSK, tak akan ada seorang pun boleh dapat
mandat diraja terkecuali dari kena kutuk dengan budak TNB
dan budak JKR. Jangan harap dia orang semua nak hormat
kita punya daulat. Belum ada dalam sejarah! Macamlah lawak
sangat lawak Tenaga Nasional campur lawak Jabatan Kerja
Raya yang budak-budak ini buat bila ada gurl DSK yang lalu
depan dia orang. Tapi dibuat-buat telinga ni pekak seolaholah
tak dengar apa-apa, macam letak suatu alat yang kalis
bunyi dalam lubang telinga.
Bukan apa, masa tu kepala ni dah boleh fikir sikit
yang mungkin semua itu balasan yang kena terima sebab
masa sekolah menengah dulu lancar sangat mulut tu
mengata budak-budak ‘kelas janda’ yang duduk berjiran
dengan kelas Aleeya semasa sekolah menengah dulu. Kelas
Janda??? He he heh… Aleeya tersengih sumbing. Kelas Sains
Rumah Tangga yang kesemua pelajarnya adalah perempuan.
Semua budak-budak kelas Aleeya yang konon-konon masa tu
semua tanam impian mahu jadi Mr. and Mrs. Ir. letak gelaran
awek-awek kelas sebelah tu dengan gelaran ‘Kelas Janda’.
Aleeya cuma ikut aje.
Habis tu, kalau orang suruh terjun lombong
pangkalan tu kau pun ikut sama terjun ke, Cik Aleeya? Yang
tak baik, yang tak elok tu cepat aje ikut. Cepat aje
terpengaruh. Dengan rela hati jadi followers, kutuk hati
Aleeya pada dirinya sendiri. Tapi sekarang memang dah
menyesal selepas aku juga terasa seperti berada di kelas janda
semasa di poli dulu.
Kalau jumpa Isma, Ina, Liza benda pertama aku nak
buat adalah mintak maaf secara terang-terangan, berdiri
depan-depan. Three Stooges dalam badan budak perempuan
yang selalu kena kutuk dengan Aleeya and the gang. Bukan
apa. Kena kutuk pun sebab dia orang punya gen gediks yang
melampau semacam. Aku dahlah cukup lemas dengan manamana
girl yang gediks dan suka melebih-lebih ni. Tapi, at
least Aleeya sudah pun mintak maaf dengan dia orang semua
melalui Friendster. Post dekat comment profile masingmasing.
Setakat ni feedback yang diberi okey. Semua kata
benda lama, tak ada hal punya!!! Alahhh...!!!

Masing-masing dah besar, kan? Takkan cerita lama
nak ungkit balik. Janji sekarang semua dah happy dengan life
masing-masing. Samalah macam aku.
Jam di dinding bilik dipandang sekilas. Ya Allah!!!
Nilah masalahnya kalau sesekali memusing masa ke belakang,
menyusuri lorong-lorong kenangan zaman dulu-dulu, pasti
diri akan terleka.
Aleeya segera bersiap. Cermin dipandang. White
Perfect Re-Lighting Whitening Toner dititiskan di atas kapas
muka dan disapukan ke bahagian muka secara perlahanlahan
dan diikuti pula dengan SK-II Facial Treatment Essence
yang bertujuan untuk melahirkan sel kulit baharu. Bagi
perlindungan di bawah pancaran cahaya matahari, White
Perfect Re-Lighting Whitening Gentle Moisturizing Day
Cream disapukan ke atas kulit muka. Sebelum memakai
bedak, L’Oreal True Match Super-Blendable Foundation
disapu rata ke seluruh muka sebagai asas setiap teknik
solekan. Selepas itu barulah bedak padat warna senada
disapukan.
Kebiasaannya, jika mahu ke pejabat, Aleeya hanya
mengenakan solekan yang nipis sahaja. Cukup sekadar sedikit
pemerah bibir, pelembap bibir dan maskara di mata. Takut
nanti jika melebih-melebih dikata perasan diva pula. Lagipun
mana ada orang mahu ke pejabat dengan solekan tebal seinci
macam nak pergi buat show atas pentas.
Gilalah aku. Macam manalah masa raya tahun lepas
ex-students 5 Sains 2 SMK Kampung Pasir Puteh tak
ternganga tengok aku! Aleeya berbisik di dalam hati.
Sampaikan Apeh yang masa sekolah dulu, pandang
aku sebelah mata pun macam tak kuasa, boleh bagi offer baik
punya jadi ‘kekasih gelap’: part-time lover dia. Nasib dia buat
propose maut tu dalam telefon selepas balik beraya. Kalau dia
buat gaya gentleman, lelaki kasanova, pencinta setia,
pemusnah hati wanita kelas pertama, propose aku jadi parttime
lover dia secara berdepan-depan, face to face, mata
bertentang mata, mahunya melayang telapak tangan aku ini
naik ke muka dia yang konon perasan diri tu handsome.
Handsome la sangat. Suka-suka hati aje. Tak pernah berubah!
Bila nak bertaubat aku pun tak tau. Eee... meremang bulu
roma bila mengingatkan saat diri dilamar oleh Hafiz
Zulkarnain untuk menjadi ‘kekasih gelap’ lelaki itu.
Memang dulu Aleeya pernah meminati Hafiz
Zulkarnain di zaman bergelar pelajar sekolah. Alah… Minatminat
yang gitu-gitu aje. Tapi itu dulu. Zaman orang kata
cinta monyet. Zaman terasa nak admire pada someone yang
konon-konon perasan diri tu cute. Sekarang tidak lagi.
Apeh... Siapa tak kenal? Pemain hati wanita yang paling
tersohor namanya semasa di alam persekolahan dulu.
Pang! Pang...! Panggg!!!
Pintu bilik Aleeya diketuk kuat.
"Cepat Leeya. Buat apa lagi tu? Nak tumpang ke tak
nak ni?" Iwa bersuara dari luar bilik.
Bingit telinga mendengar suara cik kak yang
seorang ni menjerit pagi-pagi buta. Ini gaya macam nak kejut
satu Blok E ni bangun, bagi amaran suruh pergi ke pejabat
dengan segera aje.
Tas tangan di atas meja kecil dicapai, pas
keselamatan dipakai dan terus pintu bilik dibuka.
Iwa dan Anis sudah sedia menanti di ruang tamu
rumah sambil bersarapan pagi. Macam biasalah Nescafe tiga
dalam satu dibancuh dengan air panas dan dicecah dengan
biskut empat segi Hup Seng cap Pingpong.

Cuma Aida yang tidak kelihatan. Mungkin sudah ke
pejabat.
Minggu ini giliran Cik Anis Fadzdia jadi driver.
Menyahut seruan kerajaan dengan berkongsi kereta adalah
satu langkah terbaik untuk mengelakkan kesesakan lalu
lintas selain dapat menjimatkan wang.
Tang-tang zaman sekarang semua barang harga
dah naik, lagilah kena beringat-ingat.
FAIL di atas meja sudah menggunung tingginya minta segera
dikemas kini. Baru cuti tak sampai seminggu, fail sudah
tinggi. Nasib tak sama tinggi dengan Gunung Kinabalu.
Aleeya melepaskan keluhan. Belum buat kerja
sudah terasa penat bila memandang fail yang banyak itu.
Sahlah. Matahari dah tenggelam baru aku boleh balik rumah
hari ini.
Fail diselak satu per satu dengan lemah. Argh…
Semangat Aleeya. Semangat!!! Kalau tak buat kerja sekarang,
bila nak siap? Takkan hari ini nak buat rekod peribadi
menginap di office sendiri satu hari satu malam yang tak
pernah-pernah dibuat orang. Mood cuti dah habis. Sekarang
masa untuk bekerja. Aleeya cuba melawan rasa malas yang
menyerang. Segera melakukan kerja seperti sediakala.
Dalam pada sibuk menyiapkan kerja yang
berlambak-lambak di depan mata, datang gangguan teknologi
yang tidak diundang tiba di telefon bimbit miliknya. Rancak
bunyi alunan irama Umbrella dendangan Rihanna.
Aleeya mengerut dahi apabila melihat nama
pemanggil yang tertera di skrin telefon bimbit. Zain calling.

Ini apa kes tak ada ribut, tak ada angin taufan segala
malapetaka tak datang menimpa, tiba-tiba Zain calling? Apa
dia tak ada kerja yang nak kena dibuat ke pagi-pagi macam
ni? Butang answer ditekan. "Helo."
"Helo. Morning."
"Assalamualaikum."
Kedengaran suara orang mengekek ketawa dari
talian di hujung sana. "Waalaikumussalam warahmatullah
hiwabarakatuh."
Complete dan padat. Tak perlu diperbetulkan lagi.
Aleeya menggetap bibir. Sengaja nak melebih-lebih
dengan aku. Nasib dia jauh, tak nampak depan mata. "Ini apa
hal ni? Kau tak ada kerja ke, Zain. Mengganggu hidup orang
pagi-pagi ni! Tak tau ke aku ni nak buat kerja?"
"Alah kau ni. Bajet macam besar aje. Apa ajelah
kerja yang kau buat dekat office tu. Meh sini. Teman aku
dekat site. Tolong jadi inang diraja pegang payung untuk aku.
Matahari dah mula naik ni. Aku panas la."
Hampa gas punya Zain! Sungguh tak berasas
tuduhan dia tu yang kata aku tak ada kerja nak kena buat.
Meh sini. Tengok. Betapa berlambaknya beban kat atas meja
aku ni. Dia boleh buat ayat selamba tak pakai filter kata aku
tak buat apa. Cesss!!! Lagi tak boleh blah hantar utusan suruh
jadi inang dia, tolong pegang payung untuk dia yang tengah
sibuk buat kerja di tengah-tengah site yang sedia maklum
tahap kepanasannya tu.
"Banyaklah kau! Dahlah, aku banyak kerja ni. Kau
suruh orang lainlah jadi inang kau tu." Talian dimatikan.
Aleeya mendengus geram.
Alunan Umbrella berirama kembali yang datangnya
dari orang yang sama. Ngeee... apa lagilah dia ni! Terasa
menyesal pulak bagi nombor handphone pada Zain. Dengan
kerelaan hati sendiri pulak tu... time lelaki itu datang merayu
di R&R Tapah semalam. Sekali lagi telefon itu diangkat. "Nak
apa lagi ni?"
Suara dah mula bertukar intonasi. Frekuensi sedikit
tinggi. Tak ada masa nak berbasa-basi. Tolonglah straight to
the point nak cakap apa ni?
"Ek eleh mak cik sorang ni. Berlagak kerek pulak.
Cakap elok-elok tak boleh ke?"
Zain di hujung talian buat suara macam budak
kecik merajuk sebab tak dapat beli remote control car dekat
Toys ‘r Us.
Ek enaaa... Sesedap rasa seindah bahasa kau
mengata aku mak cik, Aleeya bercakap sendiri di dalam hati.
"Zain tersayang, cik abang manis yang encem
bergaya, call adik sayang dalam waktu office ni nak apa? Tak
tau ke yang sekarang ni adik sayang tengah sibuk nak buat
kerja. Nak cakap, cakaplah cepat."
Menggedik aje gaya Aleeya menyusun ayat bermain
kata dengan Zain di hujung talian sana. Aleeya mula rasa
tidak sedap hati. Apa punya etika kerja aku ikut. Time-time
orang sibuk buat kerja, aku boleh pulak bermain-main ayat
power dengan Mat Zain ni. Jelas juga di pendengaran Aleeya
yang orang di hujung talian sedang seronok ketawa.
"Zain! Nak cakap, cakaplah cepat!"
Kali ini suara dah bertukar jadi macam Siti Tanjung
Perak dalam cerita zaman TV hitam putih.
"Tengah hari karang kita lunch sama-sama."
Aleeya ternganga.

"Apa?" Dia bertanya kembali untuk memastikan
sama ada Zain tersalah cakap atau dia yang sound trouble.
"Tengah… hari… karang… kita… lunch… samasama."
Sepatah-sepatah Zain mengeluarkan perkataan
supaya jelas di telinga Aleeya yang dia telah mendapat
jemputan VIP keluar makan bersama lelaki idaman Malaya.
"Gila! Nak suruh aku pergi Bangi semata-mata nak
lunch dengan kau? Sepinggan setengah nasi campur aku
boleh habis sementara nak sampai Bangi tu!" kata Aleeya.
Zain terdiam. Hmmm... sebelah tangan sibuk
menggaru-garu dagu mencari idea dan jalan lain. "Okey.
Kalau macam tu biar aku pergi office kau, kita sama-sama
lunch dekat situ."
Menganga Aleeya mendengar idea Zain itu. Ush...
sudah! Kalau tadi aku kata dia gila sebab bagi idea yang entah
apa-apa, sekarang ni aku rasa aku patut bagi dia double… dan
triple. "Gila... Gila… Gila...!"
"Kenapa pulak? Aku dah nak ‘mencemar duli’ turun
ke office kau pun kau boleh kata aku gila? Sungguh tidak
patut...."
Aleeya menggigit bibir. Zain ni tak paham bahasa
ke?
"Kau jangan nak kasi spoil. Satu building ni tahu
aku still pegang title Miss Single and Available tau! Nanti tak
pasal-pasal kalau ada yang terbekenan dekat aku yang baru
masuk gear satu nak memulakan sesi suai kenal beramah
mesra, terus tukar gear reverse, patah balik tak jadi nak
mengurat aku bila nampak kau duduk semeja dengan aku."
Mahunya aku tak kata dia gila... gila... gila. Ada
pulak dia volunteer nak datang sini makan sekali di kafe
office tempat aku kerja. Duduk semeja pulak tu! Berduaduaan
lagi! Dah beberapa tahun kerja kat sini, tak pernah
dibuat aku makan minum duduk semeja dengan mana-mana
lelaki. Biasa kalau makan minum duduk semeja pun cuma
dengan Miera aje. Hanya Miera. Miera perempuan bukan
lelaki. Tapi Zain lelaki!
"Semalam masa kat R&R boleh aje?" Zain tak nak
mengalah.
"Itu R&R. Bukan kafe office aku." Tolonglah paham.
Tolonglah paham!
"Takpelah kalau tak sudi." Jelas Zain sudah bersuara
kehampaan.
Aleeya mengeluh perlahan. Aku dengan Zain baru
aje kenal. Kenapalah dia boleh buat suara merajuk manja
dengan aku sebab aku tak nak keluar lunch sama-sama dia
hari ni. Sungguhlah aku tak paham dengan dia ni.
Tapi jelas sekali, aku lagi tak paham dengan diri
aku sendiri sebab boleh melayan Zain sampai macam ni.
"Lain kalilah. Aku janji."
Hatoiii!!! Rasa macam nak tonyoh mulut sendiri
dengan cabai burung sebab pandai-pandai atur ayat berjanji
yang bukan-bukan.
"Ye ke?"
Wah! Wah! Wah! Seronok habis dia bersuara. Sunat
sekali lagi karang baru tahu. Sungguh berdrama.
Drama king yang boleh bertanding untuk dapat
gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin.

0 comments:

Post a Comment