BAJU PENGANTIN MAK ANDAM

Novel Dari Areila Sahimi

APA KATA HEROIN?


"Zain, sekeras-keras aku, rock-rock kapak aku, seselamba mana pun aku Zain, aku masih seorang perempuan. Yang tahu rasa malu bila tiba part nak luahkan isi hati." ~Aleeya~

APA KATA HERO?


"Biarpun dia serabut, dia kusut, dia jiwa kacau, dia suka teh tarik mamak sekalipun, pada aku dia tetap teristimewa." ~Zain~

Baju Pengantin Mak Andam - 11

ALEEYA merebahkan badan di
atas toto yang sedia terbentang.
Penatnya, Tuhan sahaja yang
tahu. Semester baru telah pun bermula. Modul untuk
semester ketiga nampaknya semakin tough dan macam
susah gila. Harap-harap, semester ini janganlah ada subjek
yang terkantoi. Mahu naya jadinya kalau ada satu subjek
yang tak lepas. Tak pasal-pasal semester yang berikutnya
terpaksa repeat balik subjek yang kantoi. Itu belum kira kena
sembur dengan emak sebab tak mahu belajar betul-betul.
Nauzubillahiminzalik!
Hari pertama semester baru pun dah start dengan
kuliah. Dah tak ada masa nak lepak-lepak, enjoy-enjoy lagi.
Jangan buat-buat terkejut kalau dapat message daripada
lecturer jika kena datang kuliah pada hari biasa selepas office
hours. Walaupun untuk para pelajar separuh masa, kuliah
hanyalah diadakan pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.
Alunan irama Umbrella bergema. Segera Aleeya
mengeluarkan Nokia 6500 Slide dari dalam beg. Dia melihat
nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbit.

'Chikgu Chentaku'. Ini sudah masuk panggilan ketiga yang
Aleeya terima daripada orang yang sama sepanjang hari ini.
Semuanya Aleeya buat tidak tahu. Aleeya mengeluh lemah.
Panggilan itu dibiarkan sahaja tanpa bersambut. Bingit
mendengar lagu Umbrella tersebut, telefon bimbit kemudian
dimatikan. Lantas Aleeya terus mencapai tuala dan menuju
ke bilik mandi. Lagipun maghrib semakin menghampiri.
Selesai mandi, Aleeya menunaikan solat maghrib.
Usai solat dia mencapai surah Yasin yang terletak di atas rak
buku meja belajar. Ayat-ayat Yasin dibaca sementara
menunggu masuk waktu isyak. Selesai solat isyak, Aleeya
terus berteleku di meja studi. Bekerja sambil belajar
memanglah memerlukan pengorbanan.
Orang lain, malam minggu sebegini sibuk bersuka
ria bergumbira, aku terpaksa menghadap buku. Tapi nak buat
macam mana? Dah ini jalan yang aku pilih. At least jalan
yang aku pilih ini jalan yang lurus, bukan jalan yang
bengkang-bengkok, hatinya berkata-kata.
Biasa malam-malam minggu begini, rumah
memang akan menjadi sunyi sepi.
Anis akan balik ke rumah emak abah dia di Sungai
Buloh. Untunglah dia, rumah emak abah dia dekat.
Aida pula tak tau mana lesapnya. Cuma dia bagi
tahu tadi dia keluar dengan rakan sepejabatnya. Mungkin
malam ini dia tidak balik rumah.
Dan seperti kebiasaannya, Aleeya dan Iwa setia
menjadi penunggu rumah.
Eleh... yelah tu Cik Nurul Aleeya, Cik Mar Rozaiwa.
Dua-dua sama aje. Dua kali lima sepuluh. Lima kali dua
sepuluh. Lapan campur dua sepuluh. Dua campur lapan
sepuluh, hati Aleeya berkata.

Sebab pagi esok ada kuliah, kerana itu terpaksa
berteleku, duduk dekat rumah buat ulang kaji. Kalau tak, kita
orang pun tak akan lekat dekat rumah. Paling-paling tidak
pun lepas solat isyak terus pergi lepak dekat mapley Presint 9
ataupun tengok midnight movie di Alamanda.
Aleeya masih lagi setia di meja belajar. Memanglah
kalau nak buat benda yang baik ada sahaja yang datang
mengganggu. Mata macam dah kena letak dengan batu
sungai aje. Berat semacam. Aleeya mengangkat punggung
dari kerusi lalu menuju ke dapur.
"Buat apa?" Iwa menegur dari belakang.
Terkejut Aleeya apabila tiba-tiba ditegur oleh Iwa
sedemikian rupa. Sudahlah keadaan malam-malam macam ni
senyap sunyi sahaja. Ya Allah... Nasiblah aku tak ada penyakit
lemah jantung. Kalau tidak kat sini jugak aku kojol. Botol
Nescafe di tangan nasib tidak terlepas. Kalau tidak mahunya
aku kempunan malam ini nak minum air Nescafe.
"Buat air. Kau nak ke?" Aleeya bertanya.
Bagai orang mengantuk dihulurkan bantal, Iwa
terus mengangguk laju apabila Aleeya dengan sukarela tanpa
dipaksa-paksa mahu membuat air untuknya sekali.
"Nak... nak...." Iwa mengangguk laju.
Pantang dipelawa, cepat aje mengangguk, Aleeya
berkata di dalam hati.
Aleeya mengeluarkan sebiji mug lagi dari dalam
kabinet dapur. Serbuk Nescafe dibubuh di dalam mug.
Pasangan sehati sejiwa Nescafe, Coffemate pula dimasukkan.
Air panas dari cerek elektrik dituang ke dalam kedua-dua
mug di hadapannya. Air Nescafe dikacau perlahan-lahan.
Siap. Aroma harum air Nescafe panas yang berasap nipis itu
benar-benar membuatkan mata terasa segar semula.

"Leeya, nanti tolong hantar ke bilik aku ye," arah
Iwa.
Amboi, selamba sungguh Mar Rozaiwa berkata-kata.
Siap minta tolong dihantar sampai ke dalam bilik. Ingat dia
puteri raja dari kayangan ke, nak dilayan sampai macam tu
sekali. Terlupa diri ke yang sekarang ini dia dengan aku dekat
rumah, bukan sedap-sedap duduk melepak dekat mapley.
"Kau ingat aku anei dekat mapley Presint 9 tu ke?"
balas Aleeya kemudian.
Iwa yang terasa nak melangkah ke dalam bilik terus
tak jadi menghayun langkah, sebaliknya dia ketawa melihat
Cik Aleeya pot pet-pot pet merungut seperti itu. Teringat
pulak iklan U Mobile.
Nei. Teh tarik satu.
Boley....
Nei, nak setengah gelas.
Tak boley!
Kenapa??? Hmmm....
Adalah sesuatu yang cukup melawakkan kalau
Aleeya macam anei dalam iklan itu. "Yelah, yelah. Aku
temankan kau kat sini."
Tangan Iwa tidak henti-henti mengetuk-ngetuk
kabinet dapur tak tau berirama lagu apa, sambil mata melilau
mencari sesuatu yang boleh dibuat kudap-kudapan sementara
menunggu Nescafe yang dipesan siap dibancuh. Twisties
paket besar dicapai. Iwa berdiri di balkoni dapur sambil
makan Twisties.

"Nah." Aleeya menyuakan mug berisi air Nescafe
panas berasap nipis kepada Iwa.
Iwa menyambut huluran tersebut dengan senyuman
memekar di bibir. "Mekacih."
Aleeya mengambil tempat di sebelah Iwa.
Dua-dua melayan perasaan menghadap ke langit
yang nampak cantik dengan taburan bintang-bintang.
"Leeya." Iwa memecah tembok kesunyian.
"Yup." Aleeya menjawab ringkas.
"Nanti aku pinjam buku-buku masa kau semester
dua dulu ek?"
Aleeya tersenyum. "Ambiklah. Tapi pinjam aje tau!
Habis sem. make sure pulangkan balik sebelum aku start
mensumbangkan lagu 'Pulangkan'. Aku sayang buku-buku tu
semua. Tapi nak pinjam mesti kena ikut syarat yang telah
ditetapkan."
"Tau... Jangan terkelepek, jangan terkoyak, jangan
terkemik." Iwa memotong sebelum sempat Aleeya
meneruskan kata.
Sudah faham sangat dengan perangai Aleeya yang
satu itu. Jika ingin meminjam buku-buku kepunyaan Aleeya,
jangan sesekali diapa-apakan buku-buku itu. Jangan ada yang
berani gatal tangan. Pasti mengamuk besar Aleeya jika ada
yang mengingkari arahan. Bukan setakat buku pelajaran,
koleksi novel kesayangan, kamus-kamus yang bermacammacam
bahasa, bahkan sehinggakan majalah Remaja yang
dibeli dua kali sebulan itu juga jangan cuba diapa-apakan. Di
dalam setiap helaian pertama buku-buku, novel dan majalah
milik Aleeya sudah sedia bertanda dengan kertas berwarna
merah cili yang tertulis:

BUKU INI ALEEYA PUNYA!!! TOLONG BUAT
MACAM HARTA ORANG LAIN. JANGAN
BUAT MACAM HARTA BENDA SENDIRI.
INGAT!!! INI ALEEYA PUNYA. ALEEYA YANG
PUNYA!

Janganlah berani bagi alasan mata rabun kalau
tulisan sudah font saiz enam belas bold ini pun tidak perasan.
Macam-macam perangai house-mate yang seorang ini.
"Pandai pun. Tak payah aku sibuk buat ulang siaran
cakap benda yang sama," kata Aleeya bersahaja.
"Yelah. Dah berapa lama pun kita berkawan. Dari
poli lagi aku dah kenal kau sampai dah kerja, buat PJJ samasama
pulak tu."
"Yelah adik juniorku. Memang kita buat PJJ
bersama-sama dekat UKM uni tercinta, tapi kau tu tetap
junior aku. Jadi kau kenalah respect senior lebih." Aleeya
membalas dengan gelak tawa. Kata-kata yang penuh dengan
nada kebanggaan tahap melampau.
Iwa mencebikkan bibir. Ek... ena... Ini apa hal riak
semacam aje gayanya. Baru senior terlebih satu semester dah
berlagak tak agak-agak. Senior terlampau betul!
"Eleh poyo betul kakak super duper senior aku
ni...." Iwa menyiku kakak seniornya di sebelah.
Pecah ketawa budak berdua ini.
Aleeya meneguk perlahan Nescafe yang berasap
nipis. "Iwa."
"Hmmm." Pendek Iwa menjawab. Acuh tak acuh.
"Kenapa kau tak suka dekat Encik Izzat jiran depan
rumah kita tu?" Aleeya bertanya.

Terukir senyuman nakal mengiringi soalan tadi.
Soalan cepumas. Biar Iwa tak senang duduk nak jawab soalan
aku ini. Tak sabar nak mendengar apa ayat dia mahu goreng
aku kali ini. Goreng Iwa. Jangan tak goreng!
Iwa menahan rasa malu mendengar soalan Aleeya
tadi. Darah terasa sudah menyerbu naik ke muka. Apa punya
soalan tengah-tengah malam Aleeya kasi dekat aku ni?
"Entahlah. Malaslah aku dengan dia tu. Slow. Tak pahampaham."
Itu sahaja jawapan yang mampu Iwa berikan untuk
menjawab soalan Aleeya itu tadi.
"Yelah tu. Dah kau pun tak pernah nak bagi dia
can." Aleeya masih tidak mahu mengalah. Sebolehnya mahu
dikorek sampai dapat jawapan dari mulut Iwa.
"Can amenda? Ada ke patut dia bagi bunga tahi
ayam dekat aku. Kau pun satu, macam tak tau nak bezakan
carnation dengan bunga tahi ayam tepi jalan nak masuk
Presint 11 ni. Main bagi aje kat aku," marah Iwa. Memang
geram yang teramat mengenangkan peristiwa bunga tahi
ayam itu.
Aleeya ketawa. Teringat kembali macam mana
Encik Izzat boleh buat muka straight face mintak Aleeya
tolong sampaikan bunga untuk Iwa. Macam gentleman
dengan jambangan bunga diletakkan di belakang. Sekali bila
jambangan tadi dibawa ke hadapan, alangkah terperanjatnya
Aleeya apabila melihat sejambak bunga tahi ayam! Aleeya
yang macam kena pukau terus ambik dan bagi pada Iwa.
Mengamuk besar Iwa malam tu. Katanya Aleeya tak
bermata tak berhidung, bunga tahi ayam disangka carnation
pink colour.
Aku ni masih sihat walafiat, Aleeya berkata di dalam
hatinya. Tak ada masalah deria melihat dan menghidu. Cuma
saja nak buat jahat. Kenakan kawan sendiri, itu yang secara
sukarela bersetuju menjadi mak cik posto-posto untuk Encik
Izzat.
Encik Izzat tu pun satu. Kalau nak buat ala-ala
cerita romantik komedi, janganlah teruk sangat. Mana taman
dia pergi rembat bunga tahi ayam tu, Aleeya sendiri tak tau.
"Kau pulak?" Iwa pula bertanya kepada Aleeya
apabila melihatkan Aleeya dari tadi tidak berhenti-henti
tersenyum melihat dirinya.
Kalau bab nak mengenakan orang, memang
serahkan pada dia, gumam Iwa di dalam hati.
Gulp! Aleeya menelan air liur yang sedikit kelat.
"Aku tak tahu." Aleeya menjawab perlahan.
Iwa mencebik. "Macam tu pulak!"
Iwa buat muka tidak puas hati. Cubalah bagi
jawapan yang bagus sikit. Ini tidak tahu. Tidak tahu. Tidak
tahu.
"Susahkan nak lupakan orang yang kita pernah
sayang."
Jujur Aleeya meluahkan mengenai apa yang sedang
dihadapinya ketika ini. Berkecamuk di dalam kepala apabila
perkara ini dibangkitkan semula.
Iwa hanya mengangguk lemah.
"Betul. Tapi kita kena kuat ke arah itu. Kena belajar
untuk melupakan kenangan silam. Kalau tak sampai bila-bila
pun kita akan terseksa. Jiwa merana. Hidup jadi kacau-bilau.
Takut nanti jadi sasau." Bersahaja Iwa berkata. Ada nasihat
yang terselindung di dalam kata-kata Iwa itu.
Aleeya menggaru kepala laju. Kalau tengok dari
gaya dia menggaru, seperti ada satu pasukan kutu sedang
berkawad di atas kepalanya.
"Ngeee! Aku tau. Aku pun tengah berusaha. Tapi
aku tak tau kenapa payah sangat," marah Aleeya pada dirinya
sendiri.
Marah kerana terlalu lemah dengan lelaki yang
seorang itu. Sepatutnya, pada hari kena tinggal itu, Aleeya
perlu melupakannya. Lupakan sepenuhnya. Tak payah nak
diingat-ingat. Tapi apakan daya, mengakui itu kelemahan
dirinya.
"Cuba. Aku tau, kau boleh. Kau kuat." Iwa memberi
kata-kata semangat.
Benar. Bukan senang untuk melupakan insan yang
pernah bertakhta di dalam hati. Tempat jatuh lagikan
dikenang, inikan pula orang yang kita sayang.
Aleeya memandang Iwa.
"Chayok!!! Chayok!!!"
Serentak mereka bersuara menyebut perkataan
yang sama. Pecah ketawa kedua-duanya. Hantu cerita Korea
yang sudah dialih bahasa ke bahasa Mandarin.
"Leeya, cerita dekat aku pasal Zain."
Sengaja Iwa mahu membuka cerita mengenai lelaki
yang dia sendiri tidak kenal itu.
Tiba-tiba ketawa Aleeya mati macam itu sahaja.
Sah! Ini soalan untuk memerangkap dirinya. "Okey. Enough.
Time's up. Sesi layan jiwa-jiwa dah tamat. Jom masuk bilik
sambung balik sesi pembelajaran sendirian berhad kita tadi.
Kalau ada yang kau tak tau, tak paham, ketuk pintu bilik aku.
Jangan main redah aje."
Aleeya terus berlalu meninggalkan Iwa yang
terpinga-pinga. Soalan Iwa dibiarkan tergantung begitu
sahaja tanpa ada jawapan yang diberikan.
Iwa hanya memandang Aleeya yang sudah berlalu
masuk ke dalam biliknya. Pandai sungguh Aleeya melarikan
diri dari soalannya tadi. Hampeh!!! Kalau aku pun buat gaya
macam yang dia buat ni, mau pecah pintu bilik aku dia ketuk
sebab tak dapat jawapan yang dia inginkan tu...! Tiba time
batang hidung sendiri terkena, main pergi macam tu aje.
Ceh!!!
Aleeya masuk ke dalam bilik dan kembali duduk
berteleku di meja belajar. Mug Nescafe tadi diletakkan di sisi
kanan meja belajar. Buku setebal satu inci setengah dibuka.
Telefon bimbit yang sedari tadi diam membisu dicapai.
Telefon yang tadinya mati tidak bernyawa dihidupkan semula.
Aleeya melihat senarai panggilan yang tidak berjawab. Dia
mengeluh. Kemudian melihat mesej yang masuk. Sekali lagi
Aleeya melepas keluhan lemah. Arrrgghhh....
Kalau sekarang aku buat keputusan nak baca buku,
memang confirm tak akan ada satu benda pun yang akan
masuk melekat dalam kepala. Adalah lebih baik aku buat nota
yang meriah dengan macam-macam warna, Aleeya
bermonolog sendiri di dalam hati. Itu adalah yang terbaik.
AZIZUL sekadar memandang kosong telefon bimbitnya.
Keras benar hati Aleeya. Sepuluh kali buat panggilan pun
langsung dia tidak mahu jawab. Seketika kemudian, Azizul
menyambung semula tugas-tugas menyemak buku-buku
latihan matematik para pelajarnya. Pening kepala dengan
jawapan untuk tugasan matematik yang diberikan oleh para
pelajarnya. Di dalam kelas tadi, sudah berbuih mulut dia cuba
menjawab soalan-soalan matematik yang ditanya oleh para
pelajarnya. Soalan-soalan yang mereka tidak faham. Jenuh
juga mahu menerangkan bagaimana jalan penyelesaian yang
harus mereka buat.
Selama hayat dia bergelar seorang pendidik yang
mengajar mata pelajaran matematik, ada satu soalan yang
pernah diajukan oleh seorang pelajarnya, yang dia sendiri
tidak dapat lupakan. Sehingga sekarang, tidak ada seorang
pun para pelajarnya mampu memecah rekod mengajukan
soalan seperti bekas pelajarnya yang seorang itu. Yang agak
mencabar akal fikirannya mencari penyelesaian untuk soalan
itu. Nurul Aleeya punya soalan. Paling diingati sehingga kini.
Kerana dengan soalan itulah, Azizul mula memberi perhatian
buat pelajar yang bernama Nurul Aleeya.
"Cikgu, saya ada satu soalan nak tanya. Tak faham
sangat ni," luah Aleeya dengan muka yang berkerut-kerut.
Beria-ia benar rupanya.
Semua yang ada di dalam kelas memberi tumpuan
sepenuhnya kepada Aleeya. Ingin mendengar soalan apakah
yang dahsyat sangat bunyinya kalau diikutkan dari tune suara
Aleeya itu.
"Apa dia?"
"Tapi kalau saya tanya, cikgu jangan marah," kata
Aleeya lagi.
"Yalah. Tanya pun belum lagi. Pernah ke saya marah
pelajar saya kalau ada yang tak faham mahu bertanyakan
soalan?"
Aleeya tersengih ala-ala kerang busuk.
"Okey. Camni... KRU + (A2Z) – 4U2C, apa jawapan
dia ek?" Aleeya bertanya selamba.

Riuh satu kelas mendengar soalan tak tau spesies
apa yang Aleeya kasi pada Cikgu Azizul.
Azizul sekadar memandang Aleeya yang bukan
main sakan gelaknya. Berjaya si gadis ini mengenakan
gurunya sendiri. Berfikir-fikir Azizul sejenak mencari jawapan
yang terbaik untuk Nurul Aleeya. Dengan bersahaja Azizul
menjawab, "AWAS ITEK GEMBO-GEMBO FIONA."
Bergegar kelas mendengar jawapan yang kreatif
daripada Cikgu Azizul. Tepukan gemuruh diberikan buat
Azizul yang berjaya menyelesaikan soalan daripada Nurul
Aleeya yang 'susah' sangat itu.
"Kopi panas."
Suara Hazlily mengejutkan lamunan Azizul pada
kisah silamnya. Terjatuh pen merah di tangan.
"Hmmm...." balasnya acuh tak acuh. Pen yang jatuh
diambil kembali dan menyambung semula kerja-kerja
menyemak buku para pelajarnya.
"Teringat bekas kekasih ke?" tanya Hazlily. Jengkel
Hazlily melihat suaminya mengelamun mengingatkan bekas
kekasihnya dulu.
Azizul mengangkat kepala memandang Hazlily.
"Kenapa dengan awak ni?"
"Jangan tanya saya kenapa. Patut tanya soalan tu
pada diri awak sendiri." Hazlily membalas kembali. Sudah
tidak tahan rasanya terpaksa hidup sebegini. Di hadapan
keluarga, mereka berdua terpaksa berpura-pura seperti tiada
apa yang berlaku. Aman bahagia. Sedangkan, di hatinya
merintih akibat sikap Azizul yang semakin hari semakin jelas
perubahannya. Azizul harus ingat, sabarnya juga ada had.
Jangan diduga yang dia tidak berani membuat perkara yang
bukan-bukan satu hari nanti.

0 comments:

Post a Comment