BAJU PENGANTIN MAK ANDAM

Novel Dari Areila Sahimi

APA KATA HEROIN?


"Zain, sekeras-keras aku, rock-rock kapak aku, seselamba mana pun aku Zain, aku masih seorang perempuan. Yang tahu rasa malu bila tiba part nak luahkan isi hati." ~Aleeya~

APA KATA HERO?


"Biarpun dia serabut, dia kusut, dia jiwa kacau, dia suka teh tarik mamak sekalipun, pada aku dia tetap teristimewa." ~Zain~

Baju Pengantin Mak Andam - 8

PERJALANAN hampir tiga jam
dari Ipoh ke Putrajaya terasa
amat memenatkan.
Sampai di rumah sewa, Aleeya terus masuk ke
dalam bilik dan merebahkan badan di atas toto yang sudah
sedia elok terbentang. Barang-barang yang dibawa dari
kampung hanya dilonggokkan di tengah-tengah ruang tamu
rumah pangsa yang tidak berapa besar itu. Ikan masin,
belacan, taucu, kicap sehingga cili jeruk semua diangkut ke
Putrajaya. Buah jambu Tapah yang dibeli di Hentian Rehat
dan Rawat tadi juga turut dilonggokkan bersama. Ikutkan
hati, malas nak mengangkut segala macam benda itu, tetapi
setelah emak membebel di tepi telinga, terpaksa juga
diturutkan.
“Kat sana tu bukan senang nak dapatkan ikan
masin, belacan, taucu yang sedap macam kat Ipoh ni. Bawak
ajelah. Simpan dalam peti sejuk. Kalau nak masak, senang.
Tak payah nak tercari-cari.”
Aleeya tersenyum sendiri mengingat kata-kata
emak pagi tadi sebelum berangkat pulang. Memanglah.
Telinga aku dah tahan kebal, kalis maki dengan suara emak.
Sampai nak balik pun, kena tadah telinga lagi.
Itu cerita di rumah sebelum bertolak pulang. Dalam
perjalanan pulang melalui Lebuh Raya Utara Selatan lain
pulak kisahnya. Niat di hati mahu berhenti sekejap di Hentian
Rehat dan Rawat Tapah, hanyalah untuk membuang hajat
yang ditahan sejak kereta yang dipandu mula masuk melepasi
pintu tol Simpang Pulai tadi. Tapi hati macam terpanggil nak
beli buah jambu Tapah yang sememangnya cukup popular di
sini. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal
lengan... alang-alang dah sampai, baik beli aje takut nanti
menyesal. Ketika mahu membayar harga buah jambu yang
dibeli, tiba-tiba ada suara yang menegur dari arah belakang.
“Aleeya,” panggil seseorang dari arah belakang.
Automatik leher Aleeya terpusing melihat gerangan
si empunya suara yang memanggil namanya itu. “Zain???”
Zain angkat kening.
“Buat apa kat sini?”
Apa punya soalan bodoh yang aku tanya. Dah
terjumpa dekat R&R. Mestilah datang nak makan, tak pun
nak melepaskan hajat atau macam apa yang aku tengah buat
sekarang ni. Beli buah jambu yang dah cukup femes satu
Malaysia.
“Rehat kejap. Nak makan. Kau?” Zain bertanya
kembali.
“Aku beli ni.” Aleeya menjawab sambil
menunjukkan beg plastik buah jambu yang sudah pun
dibayar harganya.
“Jom makan sekali. Teman aku. Bosanlah kalau
duduk makan sensorang,” pelawa Zain. Ikhlas. Tak ada makna
apa-apa pun.
Aleeya menimbang-nimbang. “Okey.”
Dia terus berjalan ke deretan kedai-kedai makan
yang ada di hentian itu.
Zain mengikut jejak dari belakang. Angin apa pulak
yang melanda mak cik sorang ni? Terus agree cakap okey aje?
Aleeya dan Zain duduk di satu meja kosong
bahagian kanan tepi gerai.
“Minum adik manis?” Zain bertanya sambil buat
gaya pelayan dekat mapley tengah ambil order.
Aleeya menekup mulut menahan tawa.
“Bos, kasi Milo suam. Tak nak Milo, tak nak susu.
Letak air suam aje,” pinta Aleeya.
Zain angkat kening. Dahinya berkerut. Pening
memikirkan jenis air Milo yang baru diminta oleh Aleeya. Air
Milo pesen baru ke ni? Kemudian dia memandang Aleeya
yang sedang ketawa.
Cist! Baru dia terperasan. Cakap la nak minum air
suam. Ayat sikit la punya panjang. Milo suam la. Tak nak
Milolah. Tak nak susulah. Poin penting cuma nak minum air
suam aje. Mangkuk tingkat cap Kuda Belang betul la budak
Aleeya ni!
“Air suam aje?” Zain bertanya kembali. Dilihatnya
Aleeya masih mengekek ketawa.
“Dapat kau tangkap ye?” tanya Aleeya.
“Aku memang pantas bab tangkap menangkap ni.”
Zain membalas.
“Ye la tu! Yo yo o aje. Aku tengok dahi kau tu
berkerut-kerut nak memikirkan mende apa yang aku mintak
tadi.” Aleeya membalas balik.
Zain diam. Tercari-cari patah perkataan untuk
membalas balik ayat-ayat Aleeya. Akhirnya yang keluar cuma,
“banyaklah kau!”
“Hilang kata? Atau… dah tak tau nak kata apa lagi?”
duga Aleeya sambil tersenyum sinis.
Zain diam.
Aleeya sambung ketawa. “Yes!!! Aku menang...!”
“Kasi can,” balas Zain dan terus berlalu menuju ke
gerai yang menjual air.
“Air suam satu siap!” Zain datang membawa dulang
yang berisi segelas air suam, teh O ais dan semangkuk bihun
sup. Gelas berisi air suam tadi diletakkan di hadapan Aleeya.
“Betul tak nak makan ni?” Dia bertanya kembali.
Aleeya menggeleng tanda tidak mahu. “Aku on
diet.”
“Eleh... badan kurus cekeding macam anak cicak
lagi mau diet!”
Aleeya membulatkan biji mata. Kurang asam jawa,
asam boi, tempoyak masam punya mamat. Berani sungguh
mengata aku depan-depan yang aku ni macam anak cicak!
Sungguh tak berinsurans mulut dia itu... Wei!!! Aku anak
oranglah, bukan spesies cicak!
Aleeya cuma mendiamkan diri. Malas mahu
bertikam lidah dengan orang yang tengah sedap-sedap
menikmati bihun sup di dalam mangkuk itu. Kalau tercekik
nanti, tak pasal-pasal aku dituduh cuba mengapa-apakan Mat
Zain ini pulak.
“Kau nak balik mana?” Zain bertanya.

“Putrajaya.”
“Presint?”
“11.”
“Ooo….” Zain menyambung kembali menghirup
kuah sup di dalam mangkuk.
“Kau?” Turn Aleeya pulak bertanyakan soalan.
Zain mengangkat muka memandang wajah Aleeya
yang tak beriak itu.
“Bandar Baru Bangi,” jawabnya.
“Ooo... aku selalu jugak pergi Bangi. Training futsal
dengan budak-budak office,” beritahu Aleeya tanpa diminta.
Memang itulah aktivitinya setiap malam Rabu. Buat
latihan futsal dengan teman-teman satu pejabat. Aleeya mula
bermain futsal selepas menonton filem ‘Gol dan Gincu’ dulu.
Masa di kampung dulu, Aleeya memang sudah ada
pasukannya sendiri yang terdiri daripada kawan-kawannya
sendiri dan juga kawan-kawan adiknya, angah. Selalu
jugaklah pergi main dekat Sport Planet di Ipoh dulu. Mulamula
memanglah nampak macam susah. Nak sepak bola,
tersepak tulang kering orang pun ada. Nak buat sepakan
maut sampai tercabut kasut pun ada. Tapi bila sudah cuba
bermain, dah jadi tahap separuh pro, memang best. Hilang
stres.
Selain futsal, Aleeya juga amat meminati sukan bola
jaring. Setiap kali ada perlawanan, pasti dia akan turut sama
menyertai. Itu juga merupakan salah satu cara dia
mengekalkan kesihatan badan. Lagipun memang seronok
main beramai-ramai.
“Kat mana?” Zain bertanya.
Tidak sangka, Aleeya boleh berminat dengan futsal.

Sama seperti dirinya. Kalau di zaman uni dulu, Zain memang
bermain bola sepak untuk pasukan kolejnya. Tetapi kini dia
sendiri sudah jatuh minat pada futsal. Tidaklah mengah
sangat kalau bermain futsal dari bermain bola sepak yang
keluasan padangnya dua kali ganda daripada padang futsal.
“Active futsal.” Aleeya menjawab.
“Aku selalu jugak training futsal kat situ,” beritahu
Zain. “Dah lama kau join team futsal?”
“Kalau dengan team budak office aku, ni kira baru
lagilah. Itu pun lepas kena paksa join team department aku
untuk tournament futsal antara department. Nak tak nak aku
memang kena join la. Kira macam paksa relalah. Tapi aku
memang dah lama main futsal ni. Since lepas habis sekolah
dulu pun aku dah main.”
“Kalau team bola, kau sokong mana?” tanya Zain.
“Kejor Yop Kejor.”
“Sungguh bersemangat kenegerian.”
“Mestilah. Aku seorang Silverian yang amat-amat
sayangkan negeri dia.”
Aleeya ketawa. Maklumlah, ahli Kelab Anak-Anak
Perak di dalam Friendsterlah katakan....
“Kalau luar negara?” Zain bertanya lagi.
Seronok bersembang pasal sukan dengan orang
yang boleh masuk kepala. Biasa kalau pasal-pasal bola ini,
harapkan dengan member satu jenis ajelah boleh masuk pun.
Ini kira kali pertama bercakap pasal bola dengan seorang
perempuan.
“M.U,” jawab Aleeya bersahaja.
Zain mencebik. “Ini sah sebab Christiano Ronaldo.”

“Eh, mana tau ni?” Aleeya buat-buat tanya sambil
ketawa.
“Perempuan....” jawab Zain pendek.
Alah! Kalau dah namanya perempuan tu,
perempuan jugaklah. Bukan betul-betul nak tengok game
pun sebenarnya. Tapi nak tengok player pujaan hati aje....
bisik Zain di dalam hati.
Dari sesi perkenalan bertukar menjadi sesi
sembang-sembang sukan hari ini. Semua cerita yang ada
kena-mengena dengan bola sepak mahupun futsal semua
terkeluar. Dari cerita skuad tempatan sampai masuk
international, dua-dua layan aje. Sampai licin kuah sup di
dalam mangkuk, kering air di dalam gelas.
Melihat mangkuk di hadapan Zain sudah licin
berkilat, Aleeya angkat punggung mahu pulang.
“Eh, nak pergi mana?” soal Zain, tergesa-gesa.
“Baliklah. Jauh lagi perjalanan ni.”
“Naik apa?”
“Aku ni budak perempuan besar yang ada lesen
bawak kereta tau! Naik kereta la. Takkan kereta lembu kut.”
Zain tersengih. Memanglah naik kereta. Kalau naik
kereta lembu sampai hari Ahad bulan Januari tahun depan
pun takkan sampai. “Parking kat mana?”
“Sana tu,” jawab Aleeya sambil mulutnya menjuih
ke arah keretanya diparkir.
“Aku kat sana!” Zain menudingkan jari telunjuknya.
“So?”
“Okeylah.” Zain bangun dari kerusi. Dia berjalan
menyaingi Aleeya.

Aleeya mula menukar haluan ke arah kanan menuju
tempat parking kereta manakala Zain pula menuju ke arah
kiri.
“Aleeya!”
Aleeya menoleh ke belakang. Kelihatan Zain berlarilari
anak ke arahnya. “What?”
“Kau ada hutang dengan aku!”
Aleeya mengerut dahi. Mak aiii... duit air suam tadi
pun nak kena bayar balik ke? Aleeya yang macam tak berapa
nak paham terus mengeluarkan wang kertas satu ringgit dan
dihulurkan kepada Zain. “Keep the change.”
“Apa ni?”
Dah tak kenal dengan kepala Agong ni lagi ke?
“Duit la. Takkan tisu tandas.”
“Untuk apa?”
“Air suam tadi.”
Zain ketawa. Hatoiii... sakit kepala aku! Mau aku
kena cepuk dengan Badri kalau dia tau aku claim balik duit
air awek ni tadi. Buat malu kaum sejenis aje.
“Aku maksudkan nombor telefon kau la mak cik.
Bukan duit Milo suam, tak nak Milo, tak nak susu, letak air
suam aje tadi.”
Not satu ringgit tadi dikembalikan semula ke
tangan Aleeya. Tangan sebelah sudah menyeluk ke dalam
poket seluar. Telefon bimbit Nokia N81 sudah tersedia di
tangan.
Aleeya menimbang-nimbang di kotak fikiran sama
ada wajar atau tidak nombor telefonnya diberikan kepada
Zain. Takut juga kalau kena terima gangguan teknologi setiap
malam. Lama dia terdiam.

“Leeya, kita kawankan?”
Zain separuh merayu. Dia buat muka seposen... dan
lima sen… dan… satu sen....
Aleeya menghembus keluhan perlahan.
“0125844411.”
Tangan Zain pantas menari-nari di atas keypad
menaip nombor-nombor yang baru keluar dari mulut Aleeya.
Kemudian dia menekan butang call.
Bunyi deringan telefon bimbit dari beg tangan
Aleeya membuatkan Zain tersenyum senang.
Aleeya mengeluarkan telefon bimbitnya dan
menunjuk kepada Zain nombor yang sedia tertera di skrin.
“Jangan lupa save nombor aku tu. Nombor
exclusive milik lelaki terhangat di pasaran.” Pesan Zain dan
terus berlalu pergi.
“Cittt!!!” Aleeya juga terus menuju ke keretanya.
“WAH!!! Leeya banyak bawak balik bekalan dari kampung.
Tengok ni. Macam-macam ada.”
Mulut Iwa pot pet-pot pet sambil tangan sibuk
mengemas barang-barang yang dibawa oleh Aleeya dari
kampung tadi. Apa punya anak dara entah, main longgok aje
dekat tengah-tengah rumah segala macam ikan masin,
belacan ini semua. Lepas tu boleh sedap landing atas toto.
“Mak aku kata tu untuk bekalan dunia akhirat.”
Selamba Aleeya bersuara dari dalam bilik air.
Mengekek dia ketawa mendengar Iwa yang sibuk membebel
di dapur. Habislah aku... ketua rumah dah bising.

“Leeya, lambat lagi ke?”
Anis sudah bising di luar pintu bilik air. “Aku nak
mandi ni. Kau buat apa lama sangat kat dalam tu?”
Aleeya hanya buat tak tahu. Tetapi dari luar pintu
bilik boleh dengar jelas suara dia ketawa, gelakkan Anis yang
berada di luar pintu bilik air.
Anis di luar dah panas berasap. Badan dah melengas
semacam ni. Aleeya kat dalam bilik air boleh pulak bersiram
lama-lama. Bukan apa tu... sebenarnya mak cik tu dah lama
siap mandi. Tapi sebab nak sangat sakitkan hati aku, saja je
dia duduk lama-lama kat dalam bilik air tu. Gila apa kalau
sejam tak habis mandi lagi?
Nak kena ye kau Leeya dengan aku? Melintas idea
nakal di dalam kepala Anis. Lalu dia masuk ke toilet di
sebelah bilik air. Secebok air dibaling ke dalam bilik air.
Aleeya yang tengah sedap-sedap mandi bersiram air,
rasa macam nak terlompat sampai terhantuk siling bilik air
dengan serangan yang tak disangka-sangka itu.
“Wei main kasar ek?” jerit Aleeya dari dalam bilik
air.
Tiada sebarang jeritan balas dari tandas di sebelah.
Selang beberapa saat... bushhh!!! Secebok lagi air dari tandas
sebelah masuk ke dalam bilik air.
Wah!!! Main kasar ek? Nak main-main sangat... kata
Aleeya di dalam hati. Kali ini dia hanya membatukan diri. Nak
lawan perang mesti kena atur strategi. Aleeya dapat
mendengar dengan jelas suara Anis yang bukan main lagi
mengekek ketawa. Lalu, baldi yang berisi separuh air itu,
ditimbang-timbang terlebih dahulu, sebelum lontaran dibuat.
Satu, dua, tiga… gedebushhh!!!

“Arrrggghhh!!!”
Bergema suara jeritan Anis.
“Wah! Kau kasi lebih nampak?” Anis mula
membalas balik.
Aleeya dengan Anis main perang air berbentengkan
dinding sebagai penghadang. Bingit dapur rumah dengan
suara budak berdua ini.
Iwa yang sedang sibuk memasak untuk makan
malam hanya buat tak tahu. Dia cuma menggeleng kepala
mengenangkan perangai dua orang teman serumah yang tak
ubah macam kanak-kanak Ribena ini.
“Hoi orang depan rumah!!! Tak tau duduk diam ke?
Memekak aje. Mengganggu ketenteraman awam sungguh!”
laung suara dari rumah hadapan yang cukup dikenali.
Aleeya dan Anis terus diam menikus. Terjengketjengket
Aleeya keluar dari bilik air dengan berkemban sahaja.
Anis juga. Mereka berdua ketawa bersama-sama apabila tidak
pasal-pasal kena sound dengan jiran depan rumah. Confirm
orang depan rumah musti tengah emo lebih sekarang ini.
“Wei, kenapa Encik Izzat tu?” Anis berbisik kepada
Aleeya.
Aleeya geleng kepala. “Tak tau. Kau tanyalah orang
yang duduk sepejabat dengan Encik Izzat depan rumah kita
tu....”
Mulut menuturkan sambil telunjuk dituding ke
arah Iwa yang sedang mengupas kulit ubi kentang.
“Nape dengan dia tu Iwa?” Anis mengajukan soalan
kepada Iwa.
“Entah!”
Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Iwa.

Malas mahu melayan dua orang yang masuk air di dalam
rumah ini.
“Encik Izzat tu bukan apa tu, stres la tu. Jiwa kacau
wei... sebab tak berjaya nak ajak mak cik tu keluar dating.”
Aleeya bersuara kuat kepada Anis.
Serentak mereka berdua ketawa.
Mak cik yang mendengar sudah mula merengus
geram. Ubi kentang di tangan dibaling ke arah budak berdua
yang sibuk bermesyuarat depan pintu bilik air.
Mencicit kedua-duanya berlari masuk ke dalam
bilik.

0 comments:

Post a Comment