BAJU PENGANTIN MAK ANDAM

Novel Dari Areila Sahimi

APA KATA HEROIN?


"Zain, sekeras-keras aku, rock-rock kapak aku, seselamba mana pun aku Zain, aku masih seorang perempuan. Yang tahu rasa malu bila tiba part nak luahkan isi hati." ~Aleeya~

APA KATA HERO?


"Biarpun dia serabut, dia kusut, dia jiwa kacau, dia suka teh tarik mamak sekalipun, pada aku dia tetap teristimewa." ~Zain~

Baju Pengantin Mak Andam - 5

"LEEYA bangun. Bangun!
Bangun...!!! Nak jadi apa anak
dara tidor sampai matahari
dah naik ni. Aleeya... bangun!"
Suara emak bergema satu rumah untuk
mengejutkan si dara yang sedang lena di tempat beradunya.
Kalau hendak diikutkan, suara emak ini sudah macam
hendak kejutkan orang dalam semua rumah di lorong
nombor sepuluh ini.
Aleeya yang sedap tidur di atas katil sedikit pun
tidak terkesan dengan alunan suara emak tidak tahu irama
apa sedang memekik di luar pintu bilik.
"Aleeya bangunnn...!!!"
Naik lagi frekuensi suara emak.
"Arrrggghhh!!! ‘Radio Taman Temara’ dah berbunyi
dah..."
Serak-serak basah suara orang yang baru bangun
tidur itu. Kemudian, mata dipejamkan kembali. Krohhh...
krohhh….

"Aleeya...!!!"
Kali ini frekuensi suara emak bertambah lagi.
Bergegar satu bilik dengan suara emak.
Aleeya terkejut. Mata disental-sental dengan tangan.
Cuba dipaksa untuk dibuka luas-luas.
"Apa mak? Kacau orang tidurlah. Ngantuk lagi ni."
Malas-malas Aleeya bersuara. Kemudian, matanya dipejamkan
semula.
Memang. Aku mengantuk sangat ni. Semalam dekat
pukul tiga pagi baru balik rumah. Bayangkanlah. Nak siapkan
Kak Lina si pengantin perempuan dengan tujuh pasang
persalinan. Buat sorang-sorang tanpa ada yang membantu.
Memanglah meletihkan. Macam nak tercabut semua skru
dalam badan ni.
Emak macam sudah nak naik angin. Hangin
dengan perangai anak dara yang seorang itu. Dari budak
sampai sudah boleh jadi mak budak, perangai tidak pernah
nak ubah.
Aleeya memang. Kalau dia tengah tidur, bom
meletup sebelah telinga dia pun dia boleh buat dek aje.
Emak masuk ke dalam bilik yang tidak berkunci
itu. Emak ambil sebiji bantal di atas katil lalu dipukul ke
badan Aleeya.
Bedebuk... bedebuk!!!
"Ooo... mak engkau! Gempa bumi… gempa
bumi…!!!" Bertabur Aleeya melatah.
Emak Aleeya ketawa.
"Apa mak ni? Kejut orang macam tu. Nak wrestling
ke pagi-pagi ni? Ingat gempa bumi tadi!"
"Tak ada maknanya gempa bumi. Bangun! Dah
pukul sepuluh setengah ni. Kata nak pergi mengandam
pengantin. Ni mak andam pun elok berbungkus lagi dengan
selimut," arah emak.
Aleeya yang masih mamai bertanya kembali, "dah
pukul berapa sekarang ni mak?"
Mata cuba dibuka luas-luas, besar-besar.
Emak mendengus geram. Sebiji bantal dicampak ke
muka Aleeya. Biar budak ni sedar sikit.
"Dah pukul sepuluh setengah pagi." Emak bersuara
kuat sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah jam loceng di
tepi katil.
Aleeya segera menoleh. Melihat ke arah jam loceng.
"Hah!!! Sepuluh setengah? Dah lambat ni! Alamak...
kenapa mak tak kejutkan orang awal-awal? Janji dengan
pengantin pukul sebelas pagi. Macam mana ni?"
Sepantas kilat Aleeya mencapai tuala yang elok
tersangkut. Segera menuju ke bilik air. Mandi. Kurang dari
sepuluh minit Aleeya mandi. Selalunya kalau tak lebih dari
setengah jam bertapa di dalam bilik air, memang tak sah.
Hari ni kurang dari sepuluh minit catatan masa tak rasmi.
Boleh cipta rekod baru ni.
Aleeya segera mencapai sehelai T lengan panjang
dan jean. Tudung yang sudah sedia bergosok dipakai.
Semua kelengkapan untuk menyolekkan pengantin
hari ini sudah tersedia di dalam kereta. Semalam semua
kelengkapan itu dibiarkan sahaja di dalam boot kereta.
Setibanya di rumah pengantin, Aleeya segera ke
bilik Kak Lina.
"You’re late," kata Kak Lina sambil menunjukkan
jam di dinding.

Aleeya memandang ke arah jam. Lewat lima minit
daripada masa sebenar yang dijanjikan. Ek ena… cik kak
sorang ni. Apa lima minit pun nak berkira jugak ke?
"Semalam Leeya lupa nak bagi tau dekat akak yang
jam dinding dalam bilik akak ni cepat lima minit. So rasanya
Leeya datang on time pukul sebelas kalau mengikut jam di
tangan Leeya ni."
Selamba jawapan yang diberikan kepada Kak Lina.
Sengaja digoyang-goyangkan jam tangan sporty jenama
Adidas ke muka Kak Lina.
Betullah kata Anis. Aku kalau bab mau cipta alasan
memang juara, hatinya berkata. Aleeya tersenyum.
"Oiii cik kak. Senyum apa lagi tu? Cepatlah!"
"He he heh… sorry kak."
"Sorry-sorry naik lori la."
OKEY. Siap. Cun. Kak Lina dah siap berdandan cantik. Untuk
majlis persandingan tengah hari ini, Kak Lina mengenakan
sepasang songket tenunan asli dari Terengganu berwarna
maroon. Top to toe semua sudah settle. Bolehlah aku rehat
lepas ni. Tinggal untuk majlis potong kek malam ini sahaja
lagi. Lepas tu, semua kerja siap. Untuk kenduri pihak lelaki
minggu hadapan, Kak Ana akan mengambil balik tugas dia
semula. Aku dah tak payah bersusah payah lagi duk sibuksibuk
nak jadi mak andam bidan terjun untuk Kak Ana.
"Lina, pinjam mak andam awak kejap."
Datang satu suara dari tingkap bilik Kak Lina.
Aleeya yang sedang sibuk berkemas-kemas turut
menoleh. Ini apa ke hal? Macam baru lepas masuk acara lari
berpagar untuk Sukan Olimpik aje tengok gayanya.
Tercungap-cungap.
"Problem. Kat rumah tu tak ada sape tau pakaikan
samping kat pengantin lelaki."
"Habis tu tak siap lagi la ni?"
‘Atlet lari berpagar’ itu menggelengkan kepala.
Mencuri nafas sebelum meneruskan kata, "itu yang saya
datang nak pinjam mak andam ni. Tolong settlekan problem
kita orang kat sana."
"Aleeya ikut Zain pergi tolong settlekan problem dia
orang ni!"
"Hah?" Aleeya terpinga-pinga.
"Cepatlah!"
Arahan tegas diberikan oleh si pengantin.
"Okey... okey."
DI DALAM kereta...
Aleeya: Macam manalah dalam ramai-ramai lelaki
kat rumah tu tak ada sorang pun yang tau macam mana nak
pakaikan samping. Habis selama ini korang pakai samping
teknik macam mana?
Zain: Mak cik sebelah aku ni membebel pulak.
Plaster mulut tu dengan plaster luka karang baru tau. (Di
dalam hati).
Zain: Bisinglah awak ni. Pengantin kena la pakai
teknik yang jarang orang buat. Kalau setakat macam pagi
raya tu, petik jari boleh siap. Ni nak berbunga-bunga
pintallah, apalah, mana ada sape yang tau!
Aleeya: Husy... (Bunyi dengusan yang macammacam
orang nak lepas geram tapi tak jadi).
Setibanya di rumah tempat pengantin lelaki
bertarak, Aleeya segera mendapatkan Abang Irfan. Samping
dipakaikan sepertimana yang pernah Kak Ana ajar kepadanya
dulu. Keris disemat di pinggang. Tanjak dipakai di kepala.
Fuh! Settle babe.
"Thanks ya Leeya."
"Okey. Tarak hal bang."
"Hey bro... kau dah siap ke? Aku pinjam budak
kecik ni kejap. Tolong pakaikan samping kat aku pulak."
Aleeya menoleh kepada gerangan yang bersuara itu.
Ini apa hal pulak ni. Trick nak cari pasal atau trick nak kena
penggal?
"Eh, kenapa pulak saya kena pakaikan samping
awak. Tak reti pakai sendiri ke? Sape pengantin ni. Encik...
hmmm encik..."
Jari telunjuk ditunjuk ke muka lelaki yang pandaipandai
bersuara itu.
"Zain."
"Hah... Encik Zain ke atau Abang Irfan?" Ayat
tergantung tadi disambung semula.
"Budak kecik Meenachi Leela Ji, abang ni telah
dilantik oleh Abang Irfan, suami Kak Lina awak tu untuk
menjadi pengapit kepada pengantin lelaki."
Aleeya buat muka. Sungguh menjengkelkan. Rasa
nak baling aje dengan selipar Jepun yang bukan made in
Japan ni ke batang hidung Zain. Uwek!

"Ye la. Setakat pengapit aje. Yang nak melebih-lebih
ni apa kes?"
"Tak ada kes. Ingat dalam court ke? High court.
Badminton court...."
"Habis tu, nak ada keris pakai tanjak semua ke ni?"
Sengaja Aleeya bertanya.
"Boleh. Kalau ada bawak lebih." Lagi selamba Zain
menjawab.
Argh! Poyo... Poyo... Ikut hati memang tak nak.
Tapi disebabkan sikap profesional, aku buat jugaklah macam
mana mamat ni nak.
"Meenachi Leela Ji, nama betul apa?" Sengaja Zain
buat-buat tanya. Padahal bukan dia tidak tahu siapa nama
mak andam ini.
Aleeya buat tak tau. Sungguh tak berhemah betul
dia ni. Aku tengah buat kerja lagi diajak bersembang. Cucuk
dengan jarum pin ni karang baru tau!
"Kalau tak bagi tau nama, nanti abang panggil awak
Meenachi Leela Ji nanti macam pak cik kedai tu panggil,
boleh ke?"
Soalan bodoh! Permintaan bodoh yang tak patut
dilayan. Pin yang digunakan untuk mengemaskan lagi
kedudukan samping sengaja dicucuk ke badan orang yang
banyak mulut menyakitkan hati orang tu.
"Adoiii!!!"
Aleeya tersenyum. Dilihat muka si banyak mulut
itu berkerut menahan sakit.
"Sorry. Tak sengaja." Sepatah-sepatah Aleeya
berkata. Hatinya turut sama ketawa. Padan muka! Ambik
kau....

"Wah, main kasar tu! Cakap la. Nama sape?" tanya
si banyak mulut itu lagi.
Aleeya menjulingkan anak mata ke atas.
Memandang wajah pemuda itu yang masih lagi berlagak
selamba. Barangkali sakit akibat kena cucuk dengan pin tadi
sudah hilang gamaknya, fikir Aleeya. "Aleeyalah."
Malas-malas Aleeya menjawab sebab dia dah tak
kuasa hendak melayan kerenah Zain.
"Ooo... Aleeya Lah. Nama abang Mohd. Zain.
Panggil Abang Zain aje."
Zain memperkenalkan diri dengan caranya yang
tersendiri. Suka benar Zain melihat muka budak perempuan
ini berkerut-kerut. Alah dik... bergurau aje, apa salahnya?
Bukan luak pun... Zain bersuara nakal di dalam hati.
Mendengar si jahat mulut itu membahasakan
dirinya sebagai Abang Zain, Aleeya sudah mula naik loya. Ini
kalau loya betul-betul kat sini nanti, mahu terkeluar semula
roti canai yang dijamah semasa sarapan pagi tadi. Ah, sudah!
Ini apa hal pulak ni? Sejak bila kau jadi abang aku ni? Sejak
bila kita berkongsi mak abah ni? Sungguh tidak faham. Cik
Abang Zain, tak ada maknanya! "Huh! Apa-apa ajelah!"
Eleh... eksen budak kecik ni, Zain berkata di dalam
hati melihat Aleeya terus berlalu pergi tanpa menghiraukan
dirinya.
ALUNAN lagu ‘Selamat Pengantin Baru’ dendangan
Allahyarhamah Puan Sri Saloma memeriahkan lagi acara
persandingan di antara Kak Lina dan pasangannya, Abang
Irfan. Bagai pinang dibelah dua, kedua-dua mempelai yang
sedang duduk bersanding di atas singgahsana. Sama cantik,
sama padan.
"Hai!" tegur Zain dengan senyuman manis tak
lekang di bibir.
"Hai."
Ditegur sepatah. Jawab pun sepatah. Tersenyum...
Tersenyum... Tak sakit ke tulang pipi Zain ini? Dari atas
pelamin tadi mempamerkan gigi sebaris. Macamlah dia tu
model iklan ubat gigi Colgate. "Gigi saya dilindungi dari
kaviti...."
"Dah makan?" Zain bertanya.
Aleeya sekadar mengangguk. Masih tidak
menghiraukan Zain di sebelah. Mata Aleeya buat-buat melilau
melihat suasana majlis yang masih meriah lagi ini.
"Aleeya Lah dah lama ke buat kerja ni?" tanya Zain
lagi.
Angin mana pulak yang bawak Mat Zain ni terbang
datang duduk dekat-dekat dengan aku. Apa hal entah. Tibatiba
Mat Zain nak beramah mesra ala-ala duta kedai Mesra
Petronas dengan Cik Aleeya. Bukan Cik Aleeya Lah.
"Aku ganti Kak Ana la. Dia ada kerja kat tempat
lain. So aku tolong cover dia kat sini," jawab Aleeya dengan
bahasa yang boleh tahan kerek jugaklah. Biar kerek sikit.
Biar Mat Zain berfikir sepuluh, dua puluh, tiga puluh kali
sebelum kepala dia terlintas nak ketuk-ketuk aku. Mahu jual
minyaklah...!
Zain pandang Aleeya.
Aleeya tetap buat muka tak bersalah.
Wah!!! Dahsyat aje budak Aleeya Lah ini berbahasa.
Muka kerek semacam aje. Siapa Kak Ana tu? Jiran sebelah
rumah aku ke? Ataupun jiran rumah Aleeya Lah ini... First
time rasanya aku dilayan sekerek ini oleh seorang perempuan.
Corrections. Oleh seorang budak perempuan. Jatuh
maruahku kalau ada yang tau.
"Habis tu, Aleeya kerja kat mana?" Zain bertanya
lembut. Sebutan nama pun sudah dibetulkan.
Aku pun satu. Ada ke pergi layan perempuan yang
baru kenal macam tu! Berbahasalah baik-baik sikit! Zain
menasihati diri sendiri. Patutlah budak ni pun balas kerek
juga.
"Kau ni sibuk mengalahkan perempuan. Aku kerja
kat mana-mana pun biar la. Aiseh... serabut ar mamat ni...."
Erk! Tersekat air liur Zain sebentar. Amat-amat
terasanya aku dikata sebegitu. Aku dikatanya serabut? Aku
tengok budak kecik ni yang berserabut. Sejak pertama kali
jumpa dekat kedai runcit kelmarin, dia ni dah nampak
serabut. Hari ni dia kata aku pulak yang serabut, Zain
berkata. Tetapi semua itu hanya di dalam hati.
"Eh... sat ek."
Aleeya bersuara tiba-tiba sambil mengeluarkan
sesuatu dari dalam beg tangan Adidas yang setia dibawa ke
mana-mana sahaja dia pergi, kecuali ke pejabat. Mana ada Cik
PA masuk office dengan beg tangan Adidas yang agak sporty
ni! Boleh kena gelak selama hayat berada di dalam bangunan
tu, selagi tak ada arahan kena tukar atau dah pencen.
"Nah."
Aleeya menghulurkan sekeping kad kepada Zain.
Pandangan mata Zain terarah kepada sekeping kad
yang baru diterima tadi. Business card. Kemudian, dia
merenung semula ke arah Aleeya. Minta difahamkan sekarang
juga apa kena-mengena kad ini dengan aku. Kalau kad nama
Aleeya lain cerita la. Itu maknanya Aleeya mahu berkawan
dengan aku. Jangan perasan dirilah Mohd. Zain!
"Nanti kalau kau nak kahwin, kau contact la tauke
butik ni. Dia boleh kasi offer baik punya. Servis pun bagus."
Seakan-akan faham dengan renungan Zain tadi,
tanpa diminta Aleeya menerangkan sebab-musabab kad itu
diberikan kepada Zain. Kak Ana yang suruh. Trick orang
business. Mana-mana pergi business card jangan lupa bawak.
Dah alang-alang aku jadi mak andam kat rumah pengantin
ni, dengan aku-aku sekali kena jadi distributor, tukang edar
business card tauke Butik Seri Pengantin.
"Okey la aku nak cau dulu. Malam karang aku ada
kerja lagi kat sini. Daaa...."
Aleeya terus berlalu dan menuju ke kereta. Sampai
di kereta dia terus masuk ke dalam. Enjin dihidupkan. Baru
masuk gear undur, tiba-tiba....
"Aleeya... Aleeya!" jerit Zain.
Apa kena la Mat Zain ni. Apa lagi la yang dia nak...
rungut hati kecil Aleeya. Sungguh betullah mamat ni
serabut.
Zain memberi isyarat tangan agar Aleeya
menurunkan cermin tingkap keretanya.
"Apa lagi?" tanya Aleeya agak kasar.
"Nombor handphone?" Zain angkat kening dengan
sengih nakal.
"Dalam kad tu la," jawab Aleeya selamba.
Apa kena mamat ni? Dah cantik tertulis di atas kad
itu pun masih lagi mahu tanya ke? Ini tengok pakai mata ke
pakai apa ni? Jengkel sungguh Aleeya dengan kelakuan Zain
itu tadi.
Zain tepuk dahi. Tak faham betullah budak ni! Siapa
nak nombor tauke kedai ni? Yang aku maksudkan nombor
telefon dia. "Bukan nombor telefon tauke butik ni. Nombor
telefon kau la."
Berlagak kerek sikit. Sape suruh dia kerek dengan
aku dulu?
"Ada pen?"
"Ada." Zain berkata sambil menunjukkan pen di
tangan.
Aleeya tersenyum sumbing. Heheh… Suka-suka
hati nak ketuk-ketuk aku ye? Macamlah aku tak tau trick
orang lelaki ni. Datang idea nakal tapi best dalam kepala.
"Kosong, satu, dua..."
"Kosong, satu, dua..." Zain cuba mengikut apa yang
keluar dari mulut Aleeya sambil menulis di belakang business
card tadi.
"Lima, sembilan, empat..."
"Lima, sembilan, empat..."
"Tekan-tekan tak dapat. Babai…." Satu nafas sahaja
Aleeya berkata. Terus kereta diundur ke belakang dan dia
terus meluncur laju. Ha ha ha ha… Yes... Berjaya!!! Selamat
jalan romeo....
Zain terpinga-pinga sambil memerhatikan Myvi SE
merah itu meluncur laju hilang dari pandangan mata.
Hampeh punya budak perempuan! Berani main-mainkan
aku. Macamlah susah sangat nak dapatkan nombor telefon
kau tu! Zain geleng kepala dan tersenyum sendirian.
Perkenalan yang cukup manis dirasakan ketika ini.

0 comments:

Post a Comment